_____________________________________________________________

________________________________________________________________________________________
________________________________________________________________________________________

Nukilan dan Terjemahan: Al-Fadhil Ustaz Mohd Nizam Ali(Penasihat Usrah SYazuliah)


-SIAPAKAH LUQMAN AL-HAKIM-


Siapakah sebenarnya Luqman Al-Hakim…? Al-Quranul Karim tidak menjelaskan tentang biodata Luqman, sebaliknya sekadar memperincikan kata-kata hikmahnya yang begitu murni dan amat bernilai. Seandainya biodata Luqman merupakan suatu perkara yang penting, sudah tentu ia dipaparkan dalam Al-Quran. Meskipun demikian, tidak menjadi satu kesalahan, jika dihimpunkan segala perbicaraan ulama mufassirin tentang topik ini.
Berdasarkan riwayat-riwayat yang ma`thur Luqman berasal dari Nobiy yang terletak di Sudan, bahagian selatan Mesir. Beliau adalah seorang yang rendah, berkaki lebar dan terdapat pecah-pecahan yang berbelah, berbibir tebal, hidungnya pesek dan berkulit hitam. Ulama’ berselisih pendapat sama ada beliau seorang pengembala, tukang kayu, tukang jahit atau pengutip kayu api. Ar-Ruba’i menjelaskan: Luqman adalah seorang hamba dan beliau telah dibeli oleh seorang lelaki dari Bani Israel dengan harga 30 dinar setengah.
Ulama’ juga berselisih pendapat sama ada Luqman seorang hamba ataupun tidak. Luqman pernah bertemu dengan Nabi Daud AS dan beliau juga merupakan seorang qodhi yang mengeluarkan fatwa kepada Bani Israeil. Bilamana diutuskan Nabi Daud, Luqman tidak lagi mengeluarkan fatwanya. Apabila ditanya kenapa beliau bersikap sedemikian, beliau menjawab:
ألا أكتفي إذا كفيت
Maksudnya: Tidaklah aku perlu mencukupkanmu, se-dangkan engkau telah dicukupkan.
(Bahr Al Muhid–Abu Haiyan)
Dalam tafsir Al-Muntakhab ada disebut bahawa terdapat nya dua orang Luqman iaitu:
1) Luqman bin ‘Ad (sepertimana kenyataan Ibnu Ha-jar dalam Fathul Bariy) seorang yang popular dan terkenal. Kisah teladannya banyak terdapat dalam buku-buku sastera.
2) Luqman Al-Hakim sepertimana yang diabadi kan dalam Al-Quran.
(Cetakan Majlis Al A`la Li As Syuun Al Islamiyyah: 213)
Ada riwayat yang mengatakan bahawa anak Luqman Al-Hakim tidak memeluk agama Islam, justeru itu Baginda menyeru anaknya supaya mengesakan Allah ‘Azza Wa Jalla tidak mensyirikkan-Nya. Luqman terus memberi nasihat se hinggalah anaknya memeluk agama Islam. Demikian juga halnya dengan isteri Luqman.
Menurut Ibn Abi Dunya: Luqman berterusan memberi nasihat kepada anaknya sehingga anaknya menghembus nafas nya yang terakhir.
Ada juga riwayat yang mengatakan: Anak Luqman telahpun memeluk Islam, tegahan syirik dalam wasiat sebagai ingatan dan berwaspada kerana kemungkinan ia akan berlaku di kemudian hari.
(Ruh Al Ma`aniy: jil 7: ms 128)
Ibn Hisham menyebut: Suwaid bin As Shomit tiba di Mekah dan membawa “Manuskrip yang mengandungi hikmah Luqman”, ia menunjukkannya kepada Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW pun bersabda:
إن هذا الكلام حسن والذي معي أفضل قرآن أنزله الله عليّ هو هدى ونور، ودعاه للإسلام
Maksudnya: Ini adalah ungkapan yang menarik, tetapi apa yang ada padaku adalah lebih baik, iaitu Al-Quran yang diturunkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla kepadaku. Ia adalah petunjuk dan nur. Lalu Baginda menyerunya kepada agama Islam.

Diriwayatkan bahawa seorang yang berkulit hitam telah
datang kepada Saeid Ibn Musaiyab dan bertanya kepada beliau. Lalu beliau menjawab: Janganlah bersedih lantaran kulitmu berwarna hitam. Sesungguhnya terdapat tiga orang (berkulit hitam) berada dalam golongan manusia yang terbaik iaitu: Bilal, Muhajji’ hamba kepada Umar Ibn Al-Khattab dan Luqman Al-Hakim.
(Tafsir Al Tobariy: jil 20: ms 26)

Adakah Luqman Seorang Nabi atau Al-Hakim (seorang yang bijaksana)
Ibn `Atiyah meriwayatkan daripada Ibn Umar RA: Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda Luqman bukanlah seorang nabi, tetapi beliau adalah seorang hamba yang banyak berfikir, berkeyakinan tinggi, maka Allah ‘Azza Wa Jalla mengasihinya dan menganugerahkannya hikmah. Ditawarkan kepadanya jawatan khalifah untuk melaksanakan hukum yang benar. Luqman berkata: “Tuhanku! sekiranya Engkau memberi pilih kepadaku, aku terima dengan rela dan aku meninggalkan ujian. Tetapi jika Engkau menfardhukan ke atasku, maka aku dengar dan taat, sesungguhnya engkau akan memeliharaku.”
Ulama’ telah bersepakat mengatakan: Luqman adalah seorang yang bijaksana, bukannya seorang nabi. Hanya Abu Haiyan sahaja yang telah meriwayatkan daripada ‘Akrimah dan ash-Sya‘bi yang mengatakan: Luqman adalah seorang nabi.
Sebahagian ulama’ mengatakan, Luqman telah diberi pilihan antara kenabian (nubuwwah) dan hikmah. Maka beliau memilih hikmah.
Salman Al-Farisiy menjelaskan: Luqman telah memilih ketaatan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla daripada yang selainnya, dengan itu beliau menperolehi hikmah.
Ibn Al-Munir Al-Iskandarani dan Ibn Kathir tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Luqman diberi pilihan antara kenabian (nubuwwah) dan hikmah.
(Ruh Al Ma`aniy: jil 1; hal: 83)
Ibn Katsir berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ tentang kebijaksanaan Luqman ini: Luqman merupakan lelaki yang cekal dengan kebenaran, pendiam, banyak bertafakkur, berpandangan jauh, tidak pernah tidur di siang hari, tidak pernah meludah, tidak berkahak, tidak membuang air besar dan air kecil, tidak pernah mandi, tidak bermasam muka dan tidak ketawa, tidak mengulangi kata-katanya melainkan orang lain yang akan mengulanginya, pernah berkahwin dan memiliki beberapa orang cahaya mata namun kesemuanya menemui ajal, tetapi Luqman tidak menangisi kematian itu. Beliau juga mendampingi sultan dan pemerintah untuk melihat keadaan mereka dan mengambil iktibar. Inilah antara faktor yang melayakkan beliau memperolehi hikmah.
(Al-Bidayah Wa Al Nihayah: jil - 2: hal: 124)
Pendapat yang masyhur di kalangan para ulama` dan mufassirin mengatakan Luqman adalah seorang yang soleh dan bukan seorang nabi. Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyebut nama Luqman di dalam Al-Quran dan mengangkat martabat nya. Terdapat athar-athar yang membidas pendapat ini dengan mengatakan Luqman adalah seorang hamba Habsyi, dengan itu beliau tidak layak menjadi nabi. Sepertimana yang telah diketahui,nabi ialah seorang yang merdeka dari ka langan Bani Adam, menerima wahyu dan membawa syari’at, sama ada diperintahkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla agar menyampaikannya kepada seluruh umat manusia ataupun tidak. Ayat Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa Luqman seorang yang bijaksana (Al-hakim), bukannya seorang nabi.
(Wasoya Wa Mawai’z Li Luqman Al Hakim Fi Al Quran)

Sebab Diturunkan Wasiat Luqman Di dalam
Al-Quran
Nadhr Ibn Al-Harith telah membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan. Beliau telah pergi ke Farsi untuk mendapatkan pelbagai kisah-kisah dongeng dan humor. Kemudian ia menemui kaum Quraisy lalu menceritakan hikayat-hikayat tersebut kepada mereka. Beliau berkata: “Sesungguhnya Muhammad menceritakan kepada kamu tentang kaum A’d dan Thamud, dan aku menceritakan kepada kamu tentang Rustum, Isfindiyar dan golongan bangsawan.” Kaum Quraisy menjadi asyik dengan cerita dongeng tersebut sehingga tidak mahu mendengar Al-Quran.
(Asbab Al Nuzul Al Naisaburiy: 400, Kisah Al Quran: 294)

Antara Hikmah Terawal Yang Diungkapkan Oleh Luqman.
Ulama berselisih pendapat mengenai perkara ini. Di bawah ini dipaparkan antara hikmah Luqman yang terawal.
Berkata Ibn Abi Nujaih: Tuan Luqman telah memerintahkannya agar menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya bahagian yang terbaik dan bahagian yang terburuk. Lantas beliau membawa lidah dan hati kambing. Tuan Luqman bertanya: Apakah ini? Luqman menjawab: Tiada yang lebih baik daripada kedua-dua ini pada haiwan apabila kedua-duanya baik, tiada yang lebih buruk dari kedua-kedua ini pada haiwan apabila kedua-dua ini buruk. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
المرء بأصغريه: قلبه ولسانه
Maksudnya: Seseorang itu dinilai dengan dua perkara: hati dan lidahnya.
Sebahagian ulama’ mengatakan, hikmah Luqman yang terawal ialah ungkapan: “Duduk yang lama ketika menunaikan hajat besar dan kecil mewarisi buwasir, wap kotor akan naik ke kepala dan merosakkan hati, dengan itu maka duduklah dengan tenang dan bangunlah dengan tenang.”
Ad-Dhohak meriwayatkan daripada Ibn Abbas: Luqman tidak bercakap selama setahun. Kemudian datang kepadanya anak para Nabi dan para hukamak, lantas mereka berkata: “Bercakaplah.” Luqman pun menyahut: “Tiada kebaikan pada pertuturan, melainkan dengan mengingati Allah ‘Azza Wa Jalla, tiada kebaikan pada diam melainkan dengan berfikir tentang pengembalian.”
(Wasoya Wa Mawai’z Li Luqman Al-Hakim Fil Quran)

Nukilan Mutiara Nabawi Sunday, November 29, 2009

Daftar disini

Photobucket

LOG MASUK


TV USRAH

______________________________________________________