Hadis :
Rasulullah  s.a.w bersabda, maksudnya: "Allah mengutuk wanita yang bertatu atau  minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur  alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan  mereka yang mengubah ciptaan Allah." Riwayat Ibnu Mas’ud
Huraian :
i)  Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada  ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat  atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana  memperbaiki atau memulihkan kecacatan.
ii)  Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T.  yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas  itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik,  menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.
iii)  Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak  dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam  erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu  hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening  serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar  menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan  Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.
iv)  Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan  sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat  gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang  lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah  atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak  (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada  kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk  menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau  janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat  atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga  keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana  merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.
v)  Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah  S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama  dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang  suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak  berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini  sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.
Sumber: Dakwah2U.BlogSpot.Com
_____________________________________________________________
Nukilan
Mutiara Nabawi
Sunday, May 22, 2011








