_____________________________________________________________

________________________________________________________________________________________
________________________________________________________________________________________

Al-Fadhil Ustaz Mohd Nizam( Mursyidul Am Usrah)

KEUNIKAN USLUB AL-QURAN DAN

AS-SUNNAH DALAM KONTEKS DAKWAH

Wasiat Luqman dianggap sebagai role model yang paling ideal dalam uslub dakwah. Kaum muslimin sekiranya benar-benar mempercayai bahawa Al-Quran adalah kitab suci yang agung, diturunkan untuk memberi petunjuk, memancarkan Nur Ilahi ke dalam jiwa dan hati sanubari orang mukmin serta sebagai penawar, membenarkan kitab-kitab samawi yang terdahulu dan menjaganya dari diselewengkan, maka mereka akan mendalami kitab ini untuk menambah kefahaman dan ilmu tentang uslub untuk menyeru manusia menuju kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Berikut ini disenaraikan sebahagian daripada uslub dakwah yang digunakan oleh Al-Quran dan sunnah sama ada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan.

Menyeru manusia agar mengkaji sejarah kewujudan mereka untuk dijadikan pengajaran. Cuba kita perhatikan bagaimana umat terdahulu yang pernah menempa sejarah yang gemilang dan ketinggian tamadun yang hebat, malangnya mereka mengingkari seruan para Rasul setelah dibuktikan kebenaran ajaran yang dibawa dengan pelbagai mukjizat yang terang dan nyata. Maka Allah ‘Azza Wa Jalla menghapuskan kaum ini dan diganti dengan kaum yang lain. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:

أولم يسيروا في الأرض فينظروا كيف كان عاقبة الذين من قبلهم كانوا أشد منهم قوة وأثاروا الأرض وعمروها أكثر مما عمرو ها وجائتهم رسلهم بالبينات فما كان الله ليظلمهم ولكن كانوا أنفسهم يظلمون

Maksudnya: Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah ‘Azza Wa Jalla tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

(Ar-Rum: 9)

Seterusnya Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman lagi:

ولقد أهلكنا القرون من قبلكم لما ظلموا وجائتهم رسلهم بالبينات وما كانوا ليؤمنوا كذالك نجزى القوم المجرمين، ثم جعلناكم خلائف في الأرض من بعدهم لننظر كيف تعملون

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mem-binasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-Rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan. Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) Khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

(Yunus: 13-14)

Menghilangkan kesamaran yang bertakhta di dalam lubuk hati manusia yang mendorong kepada sifat ragu-ragu. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:

قالوا إن أنتم إلا بشر مثلنا تريدون أن تصدونا عما كان يعبد ءاباؤنا فأتونا بسلطان مبين، قالت لهم رسلهم إن نحن إلا بشر مثلكم ولكن الله يمن علي من يشاء من عباده وما كان لنآ أن نأتيكم بسلطان إلا بإذن الله

Maksudnya: Rasul-Rasul mereka berkata kepada mereka: Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah ‘Azza Wa Jalla melimpahkan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mujizat) melainkan dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla.

(Ibrahim: 10-11)

Sebahagian manusia menolak fakta yang mengatakan bahawa para Rasul adalah manusia biasa. Dengan itu, diturunkan ayat Al-Quran untuk memperbetulkan tasawwur sebegini. Sepertimana kata-kata orang Quraisy yang termaktub di dalam Al- Quran. ‘Azza Wa Jalla berfirman:

مال هذا الرسول يأكل الطعام ويمشي في الأسواق

Maksudnya: Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?"

(Al-Furqan: 7)

Setelah itu, turun ayat Al-Quran yang berbunyi:-

ومآ أرسلنا قبلك من المرسلين إلا إنهم ليأكلون الطعام ويمشون في الأسواق

Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar.

(Al-Furqan: 20)

Menggunakan kaedah “Targhib” (ransangan) dan “Tarhib” (ancaman). Para Rasul yang diutuskan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla menceritakan tentang ganjaran syurga dan nikmat Allah ‘Azza Wa Jalla yang melimpah-ruah bagi sesiapa yang mengikut jalan kebenaran. Manakala balasan yang amat pedih yang tiada taranya bagi mereka yang ingkar dan kufur dari seruan kebenaran. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:

رسلا مبشرين ومنذرين لئلا يكون للناس على الله حجة بعد الرسل

Maksudnya: Rasul-Rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujjah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-Rasul itu.

(An-Nisa`: 165)

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman di dalam Al-Quran:

ولقد أرسلنا من قبلك رسلا إلي قومهم فجاءوهم بالبينات فانتقمنا من الذي أجرموا وكان حقا علينا نصر المؤمنين

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-Rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

(Ar-Rum: 47)

Mempelbagaikan uslub dakwah, sama ada dengan cara rahsia atau terang-terangan, secara individu atau berkelompok. Berkaitan dengan dakwah nabi Nuh Allah ‘Azza Wa Jalla telah berfirman:

قال رب إني دعوت قومي ليلا ونهارا فلم يزدهم دعاءي إلا فرارا

Maksudnya: (setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa' dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedahpun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran)."

(Nuh: 5)

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

ثم إني أعلنت لهم وأسررت لهم إسرارا

Maksudnya: "Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang; "Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

(Nuh: 9)

Seseorang yang mengkaji sejarah akan mendapati bahawa dakwah berjalan mengikut marhalah yang berperingkat-peringkat:-

Pada peringkat permulaannya, dakwah dijalankan secara individu dan rahsia :

® Berdakwah kepada Khadijah, Abu Bakar, Ali dan Zaid.

® Berdakwah kepada keluarga.

Peringkat ke dua berdakwah secara terang-terangan:

® Berdakwah kepada masyarakat Arab di ‘Ukaz dan Thaif.

® Perjanjian Aqabah dan marhalahnya.

® Hijrah Rasulullah.

® Pertarungan berdarah

® Berdakwah keluar semenanjung Arab hingga membawa kepada kemenangan Islam

Memilih pendakwah benar-benar layak dan berwibawa untuk memberi kefahaman dan tunjuk ajar kepada manusia:

روى الجماعة عن ابن عباس أن النبي صلي الله عليه و سلم لما بعث معاذا إلي اليمن قال: إنك تأتي قوما أهل كتاب فادعهم إلي شهادة أن لا إله إلا الله وأني رسول الله فإن هم أطاعوك لذلك فأعلمهم أن الله عز وجل افترض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة

Maksudnya: Jama’ah meriwayatkan daripada Ibn Abbas Sesungguhnya Nabi SAW ketika mengutus Mu’az ke Yaman maka Baginda bersabda: sesungguhnya engkau datang kepada kaum dari kalangan Ahli Kitab; dan serulah mereka kepada syahadah “Lailahaillallah” dan sesungguhnya aku pesuruh Allah ‘Azza Wa Jalla”. Maka sekiranya mereka mentaatimu maka ajarkanlah mereka bahawa sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla telah memfardukan sembahyang lima kali sehari semalam.

Daripada hadis ini tersirat pengertian yang besar dan begitu bermakna antaranya ialah:

1. Menyatakan bahawa dakwah Islamiyyah yang syumul ini ditujukan kepada seluruh umat manusia jagat raya termasuk Yahudi dan Nasrani.

Pendakwah memulakan nasihat dan tunjuk ajar dengan perkara yang terpenting kemudian diikuti yang kurang penting, berdasarkan tertib awlawiyyat (keutamaan).

2. Mengutarakan contoh-contoh yang lojik dan munasabah ketika berdakwah untuk lebih menjelaskan makna-makna tersirat yang sukar difahami. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:

وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذاقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون

Maksudnya: Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah ‘Azza Wa Jalla memberikan satu misalan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah ‘Azza Wa Jalla itu, maka Allah ‘Azza Wa Jalla merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

(An-Nahl: 112)

Ibn Kathir menjelaskan, contoh yang yang dimaksudkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla di dalam ayat Al-Quran tersebut adalah ahli Mekah. Negeri ini sangat aman tenteram dan menjadi tumpuan manusia di sekelilingnya tetapi malangnya mereka ingkar dan tidak mahu mengikut dakwah nabi. Setelah itu Nabi Muhammad SAW mendoakan agar bala kemarau tujuh tahun seperti di zaman Nabi Yusof menimpa mereka. Ini menyebabkan mereka terpaksa memakan Al-`alhaz (sejenis tumbuh-tumbuhan) lantaran kemiskinan dan bumi yang gersang.

(Tafsir Ibn Kathir: jil 4; hal 527)

3. Menunai dan melayan permintaan mereka yang menjadi sasaran dakwah mengikut keperluan semasa dan keutamaan. Apabila Rasulullah diminta memberi nasihat, Baginda menunaikan permintaan mereka dengan bersabda:-

لا تغضب

Maksudnya: “Jangan marah”. Baginda mengulanginya beberapa kali.

(Riwayat Bukhariy daripada Abu Hurairah)

4. Memberi nasihat secara langsung mengikut keperluan dan keadaan semasa. Rasulullah bersabda:

لا يمنع جار جاره أن يغرز خشبة في جداره

Maksudnya: Janganlah seseorang menegah jirannya daripada menanam kayu berhampiran dinding rumahnya.

(Muttafaqqun `Alaih Abu Hurairah)

5. Menggunakan teknik soal-jawab ketika menyampaikan dakwah. Kaedah Ini digunakan untuk memperindahkan lagi uslub dakwah dan meransang perasaan ingin tahu di kalangan pendengar serta menjadi daya tarikan. Contohnya sepertimana sabda Rasulullah:

"والله لا يؤمن ، والله لا يؤمن ، والله لا يؤمن" قيل: من يا رسول الله ؟ قال: الذي لا يأمن جاره بوائقه .. (متفق عليه)

Maksudnya: Demi Allah ‘Azza Wa Jalla dia tidak beriman, demi Allah ‘Azza Wa Jalla dia tidak beriman. Kemudian sahabat bertanya: Siapa Wahai Rasulullah? Maka Rasulullah bersabda: Orang yang tidak mententeramkan jirannya disebabkan oleh kejahatannya sendiri.

(Usul Dakwah Abdul Karim Zaidan, Kaifa Nadu` Ila Al Islam – Fathi Yakan)

6. Jalinan hubungan secara individu. Memilih individu tertentu yang dirasakan berpotensi untuk didampingi dan dijadikan sasaran dakwah. Menjadikan diri sendiri sebagai penyebab bagi hidayah kepada mereka.

Contohnya sabda Rasulullah SAW kepada Saidina Ali RA:-

فوالله لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم.. (متفق عليه)

Maksudnya: Demi Allah ‘‘Azza Wa Jalla sekiranya Allah ‘Azza Wa Jalla memberi hidayat denganmu seorang lelaki adalah lebih baik daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).

7. Menggunakan teknik penceritaan dan kisah-kisah. Al-Quran menggunakan teknik ini dengan menyebut hikayat-hikayat yang menarik sama ada secara terperinci atau secara umum. Ini bertujuan untuk menggamit keinginan jiwa agar sama-sama mengkaji dan membuat rumusan. Semuanya menzahirkan keunikan agama Islam. Inilah antara yang terkandung di dalam wasiat Luqman yang murni ini. Dicipta oleh ‘Azza Wa Jalla sebagai cahaya untuk menerangi sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambanya dan inilah topik perbahasan kita yang sebenarnya.

Antara uslub dakwah yang lain lagi ialah melalui khutbah jumaat, khutbah hari raya, nadwah, ceramah, buku-buku, surat khabar, kaset-kaset, siaran radio dan segala apa yang boleh digunakan untuk maslahah dakwah.

(Mawai`z Luqman Fi Al Quran)

Nukilan Mutiara Nabawi Saturday, January 16, 2010

Daftar disini

Photobucket

LOG MASUK


TV USRAH

______________________________________________________