_____________________________________________________________

________________________________________________________________________________________
________________________________________________________________________________________

(21 OGOS 2009 / 30 SYAABAN 1430H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Bulan Ramadhan yang suci datang lagi, maka marilah kita bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan ini untuk membaiki dan meningkatkan prestasi akhlak supaya kita dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan puasa kita kali ini menjadikan kita insan yang bertaqwa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “ Ramadhan Jalan Menuju Taqwa.”



Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang istimewa kepada hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu hádala berkaitan fadhilat yang banyak dalam bulan suci Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati akan melonjak, roh akan bersinar dan bercahaya serta manusia siap untuk menjadi insan yang bertaqwa.

Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, manusia adalah produk dan makhluk ciptaan Allah. Sebagai manusia kadang kala kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai produk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan sebagai bulan khusus membersihkan dosa dan menerapkan nilai-nilai yang terpuji sebagai usaha kesinambungan membersihkan diri dan mengembalikan fitrah akhlak manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Dengan demikian wahai jemaah sekalian, marilah kita dengan niat yang tulus dan hati yang suci memohon dan berdoa agar Allah membimbing kita melakukan puasa dengan penuh agar mampu membentuk insan yang bertaqwa.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan bertaqwa bukanlah perkara yang mudah, kita menghadapi cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa. Martabat pertama ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa. Martabat kedua pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum. Manakala martabat ketiga puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat Islam yang hebat dan cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.

Wahai jemaah sekalian, mereka yang memiliki ketinggian taqwa, tidak pernah membezakan antara bulan Ramadhan atau kesebelasan bulan yang lain untuk berubah. Apa yang nyata, roh Ramadhan dan ibadah-ibadah yang lain terus membimbing mereka menjadi insan soleh.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Sama ada kita sedar atau tidak, berpuasa telah menunjukkan betapa Islam dan mereka yang bertaqwa sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT. Pada masa sama, kita perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita perolehi siang dan malam itu, terselit hak-hak golongan tertentu seperti golongan fakir miskin dan dhaif.

Hakikatnya puasa yang melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelak diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan dosa.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,

Puasa Ramadhan adalah jalan menuju taqwa. Selari dengan matlamat ini mimbar menyeru, marilah kita sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:

1. Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.
2. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan kasihanilah anak-anak yatim.
3. Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang mukmin.
4. Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan selawat ke atas nabi SAW.
5. Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir.
6. Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat Allah serta redha dengan ketentuan-Nya.
Hadirin yang dihormati sekalian,

Esok kita mula berpuasa dan malam ini kita mula bersolat terawih. Bersedialah kita untuk memasuki bulan yang mulia ini dengan penuh rasa gembira. Penuh harapan untuk mendapat keampunan dan keredhaan-Nya.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl:97)

Nukilan Mutiara Nabawi Friday, August 28, 2009

Daftar disini

Photobucket

LOG MASUK


TV USRAH

______________________________________________________