_____________________________________________________________

________________________________________________________________________________________
________________________________________________________________________________________

PERANAN IBU BAPA DAN MASYARAKAT DALAM
MEMBENTERAS GEJALA DADAH
(10 JULAI 2009 )


الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, agar hidup kita sentiasa dicucuri rahmat dan keberkatan oleh Allah s.w.t.

Kita juga sewajarnya bersyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t., di mana kita boleh hidup selesa, aman dan damai. Disamping kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna, tidak sebagaimana di sesetengah negara yang sentiasa dilanda dengan pelbagai wabak penyakit, bencana alam, kebuluran, peperangan dan sebagainya. Dan yang terbaru masih segar dan kekal dalam ingatan kita gempa bumi yang melanda negara jiran Indonesia yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan memusnahkan harta benda dalam sekelip mata.



Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,

Dalam kita berusaha meningkatkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah s.w.t. sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagian rumahtangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Bahkan banyak jiwa yang terkorban, semuanya berpunca dari angkara dadah.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementeraian Keselamatan Dalam Negeri, menunjukkan masyarakat melayu atau umat Islam yang paling ramai berbanding kaum lain. Kita juga dimaklumkan mengenai statistic penagih dadah yang dikesan seramai 31 orang penagih baru dan 42 orang penagih berulang setiap hari.

Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Dalam hal ini, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa menagih dadah hukumnya adalah haram di sisi Islam. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90:


Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinyasupaya kamu berjaya”.

Dan sabda Rasulullah s.a.w.

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ
( حديث رواه مسلم )

Maksudnya : “ Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram ”.

Berdasarkan ayat al-quran dan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif dengan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan bekalan termasuk menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.


Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ecstacy, pil kuda, syabu, daun ketum, ubat batuk dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ia tidak sesekali terkecuali dari pengertian khamar dan hukumnya tetap sama.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لَيَشْرَبَنَّ أُنَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ وَيُسَمُّوْنَهَا بِغَيْرِاسْمِهَا
(حديث رواه ابو دأود)

Maksudnya : “ Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain “.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pernahkah kita terfikir, apakah akibat yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak?. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَآبِدِ وَثَنٍ ( أو قما قال )
(حديث رواه ابن ماجه)

Maksudnya : “ Penagih khamar ( penagih dadah ) sama seperti penyembah berhala ”.

Menurut al-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.

Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam masyarakat kita?.

Maka bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah Peringkat Antrabangsa yang disambut pada 26 Jun 2006. Marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.

Justeru, kita sebagai ibu bapa hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah menkhianatinya.

Begitu juga, masyarakat hendaklah berperanan membantu membendung dan membenteras ancaman dadah dalam masyarakat kita dengan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu pihak berkuasa atau polis semata-mata. Kerana kesedaran masyarakat tentang akibat buruknya kesan penagihan dadah dapat mengawal serta menghalang dari merebaknya gejala dadah. Dan yang terpenting masyarakat juga hendaklah memainkan peranan membantu proses pemulihan dan berupaya membantu bekas-bekas penagih menjalani kehidupan baru bebas dan sihat tanpa dadah.

Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain di antaranya :

Pertama : Pastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna

Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan solat cukup lima waktu dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Kedua : Biasakan Anak-anak membaca al-Quran

Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak membaca al-quran. Ditambah dengan mengerjakan solat sunat, zikrullah dan lain-lain lagi kerana faedahnya amat banyak. Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 :



Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

Sebaliknya orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar.


Ketiga : Amalkan Perkara Amar Ma’aruf Nahi Mungkar Dalam Kehidupan

Kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar ma’aruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.

Keempat : Mewujudkan Suasana Harmoni Dalam Rumahtangga

Rumahtangga yang harmoni dapat melahirkan suasana keluarga yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Yang paling penting elakkan anak-anak hidup berfoya-foya tanpa tujuan dan faedah kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk berjinak-jinak dengan dadah.

Kelima : Tanamkan Didikan Kepada Anak-Anak Supaya Benci Dadah serta Sentiasa Berhubung Dengan Pihak yang Bertanggungjawab.

Penglibatan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, disamping menjauhi tabiat menghisap rokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok. Dan yang paling penting jalinan hubungan kerjasama dengan pihak yang bertanggung-jawab seperti Agensi Anti Dadah atau pihak Polis bagi sebarang bantuan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak2 kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutama dengan siapa mereka bergaul? Kemana mereka pergi? Dan apa aktiviti mereka? Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan perihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.


اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،


( Al-Maidah : ayat 91 )

Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)”.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Nukilan Mutiara Nabawi Friday, July 10, 2009

Daftar disini

Photobucket

LOG MASUK


TV USRAH

______________________________________________________